DUA NIKMAT YANG SELALU DIPERSIAKAN

Dua Nikmat Yang Selalu Dipersiakan.

Ketika Allah SWT mengulang-ulang sebanyak 31 kali ayat yang bermaksud, "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?" di dalam Surah Ar Rahman, sebenarnya ia adalah merupakan suatu peringatan yang cukup penting dan signifikan kepada manusia agar jangan sekali kali melupakan Dia.

Oleh kerana terlalu banyak nikmat nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada makhluk makhlukNya, maka amatlah mustahil ada manusia yang mampu untuk menghitung dan mengetahui dengan tepat segala nikmat yang pernah dia kecapi.

Namun, diantara nikmat nikmat Allah SWT yang banyak yang tidak terhitung itu, terdapat beberapa nikmat yang cukup besar dan penting dalam kehidupan manusia. Antaranya adalah nikmat kesihatan dan nikmat masa yang mana tidak ada satu manusia pun mampu untuk menafikan betapa setiap manusia sangat memerlukan kedua dua nikmat ini.

Tetapi malangnya, ramai manusia tertipu dengan kedua dua nikmat yang besar ini. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud, "Ada dua kenikmatan yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang” [HR Al Bukhari]

Bagaimanakah yang dimaksudkan manusia itu tertipu dengan nikmat sihat dan nikmat masa lapang?

Apabila manusia diberikan nikmat kesihatan dan juga masa lapang, ia digunakan untuk perkara perkara yang tidak memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhiratnya sehingga dia lupa dan menjauh daripada Rahmat Allah SWT. Ketahuilah sesungguhnya golongan manusia seperti ini telah tertipu dengan nikmat kesihatan dan masa lapangnya.

Menunda nunda taubat, malas beribadah, suka melakukan perkara yang sia sia, menunda ibadah dan berhibur berlebihan adalah diantara contoh contoh kesan manusia yang telah tertipu dengan 2 nikmat yang besar ini.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia tertipu dengan nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Antaranya adalah :

(1) Faktor keimanan.
Iman yang tidak sempurna akan menjadikan manusia kurang bersedia menghadapi hari mati dan akhiratnya. Lalu setiap nikmat kesihatan dan nikmat masa lapangnya tidak diguna sebaik mungkin untuk beribadah sebagai bekalan amal yang boleh menyebabkannya bahagia di akhirat. 

(2) Faktor cinta terhadap dunia.
Rasulullah SAW ada mengatakan bahawa umat akhir zaman akan lemah disebabkan faktor cintakan dunia dan takut mati. Maka golongan manusia yang cintakan dunia ini tidak akan menghiraukan perihal kematian dan akhiratnya. Sama ada nikmat kesihatan mahupun masa lapang, sudah pastinya akan dibazirkan untuk memenuhi serakahnya terhadap dunia.

(3) Kurangnya ilmu agama.
Manusia yang kurang ilmu agama atau jahil akan mudah tertipu dengan nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Bagi golongan ini, kedua dua nikmat besar ini hanyalah nikmat yang biasa lalu dibazirkan kepada perkara perkara yang sia sia lagi tidak berfaedah.

Bagaimana hal keadaan manusia yang tidak tertipu dengan nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang? Antaranya adalah : 

(1) Perbaiki Iman.
Iman yang sentiasa diperbaiki akan menjadikan manusia menjadi lebih yakin dengan utuh tentang perihal mati dan kehidupan akhiratnya. Lalu menjadilah ia dari kalangan manusia yang tidak akan mensia siakan setiap nikmat kesihatan dan waktu lapangnya dengan digunakan sebaik mungkin untuk meraih Rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

(2) Memantapkan kefahaman agama (Islam).
Apabila manusia faham akan agamanya, maka mudah baginya untuk memahami kehendak Tuhan terhadap dirinya. Maka sudah pastinya setiap nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang yang diperolehi akan dibelanjakan pada perkara perkara yang boleh memenuhi kehendak Tuhan.

Justeru, setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada manusia akan dipersoal di akhirat kelak. Satu per satu, dari nikmat yang kecil hinggalah nikmat yang besar akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Bagaimana nikmat nikmat itu digunakan dan apakah nikmat nikmat itu disyukuri adalah diantara soalan yang akan dikemukakan.

Oleh itu, bagi manusia yang beriman kepada Allah SWT, mohonlah kepadaNya agar sentiasa terbimbing untuk mensyukuri nikmat nikmat Allah SWT. 

Sebagai penutup, amalkanlah zikir atau doa yang sahih ini yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada Muaz r.a agar kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur ke atas setiap nikmat nikmat daripada Allah SWT. 
اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

"Ya Allah, tolonglah aku agar selalu berdzikir/mengingat-Mu, bersyukur pada-Mu, dan memperbagus ibadah pada-Mu.” [HR. Abu Daud].

Wallahu'alam

#AkhiAdifGorment
27 September 2019

Comments